SELAMAT DATANG KE BLOG SAYA

Monday, November 1, 2010

Bukit Fraser

JURNAL BUKIT FRASER PAHANG MULAI 19 OKT HINGGA 21 OKT 2010

PENDAHULUAN

Peta Lakaran Bukit Fraser

Bukit Fraser mendapat nama dari seorang pengembara British pada zaman kolonial iaitu Louis James Fraser. Terdapat pelbagai cerita menarik tentang beliau tetapi tidak begitu jelas termasuk beliau sebagai pengedar candu dan perjudian di antara para pelombong di Pahang yang kebanyakannya berbangsa cina. Dia dikatakan telah hilang secara misteri di kawasan ini.

Pekannya agak kecil dan kebanyakan aktiviti di sini tertumpu di sebuah dataran yang mempunyai sebuah menara jam yang cantik. Kebanyakan bangunan yang terdapat di sini adalah bercirikan zaman kolonial peninggalan penjajah Inggeris. Pusat peranginan ini dianggap sebagai tempat terunggul untuk aktiviti memerhati burung dan sering menjadi tuan rumah acara tahunan Pertandingan Memerhati Burung Antarabangsa Bukit Fraser. Pertandingan ini memerlukan peserta menyusuri laluan-laluan trek yang terdapat di dalam hutan di sini bagi mencari dan merekodkan jumlah pelbagai jenis burung yang boleh dilihat dalam tempoh masa yang ditetapkan. Suasana di Bukit Fraser menyerupai suasana perkampungan di pedalaman negara Scotland yang dipenuhi dengan bangunan granit kelabu dengan gaya Tudor.


LOKASI

Bukit Fraser terletak di negeri Pahang, di atas Banjaran Titiwangsa, Malaysia. Ia merupakan kawasan pelancongan tanah tinggi yang menarik kerana suhunya sejuk 17-24 Celcius. Puncak tertinggi Bukit Fraser ialah 1,505 meter dari aras laut. Jaraknya kira-kira 104 kilometer dari bandar raya Kuala Lumpur yang mengambil masa sekitar 2 jam 30 minit untuk sampai ke sana. Bukit Fraser ini terletak di bawah bidang kuasa Daerah Raub, Pahang.

PENERANGAN

Bagi melengkapkan diri sebagai seorang Pemandu Pelancong Alam Semulajadi Tahap 3 seramai 22 pelatih disertai juga 2 tenaga pengajar Usahawan Pelancongan Siri Jan 2010 telah membuat lawatan ke Bukit Fraser, Pahang. Lawatan pada kali ini disertai juga Tony, Raj, Faiz dan Chod yang telah menceriakan lawatan ini. Penyertaan mereka juga dapat merealisasikan dan memberikan pengalaman sebenar sebagai seorang Nuture Guide. Program ini akan berlangsung selama 3 hari 2 malam di Rumah di Rumah Peranginan Persekutuan di Bukit Fraser, Pahang.

CATATAN PERJALANAN

Hari Pertama – Selasa (19 Oktober 2010)

Lawatan praktikal pada kali ini agak berbeza kerana kami perlu membawa bahan keperluan untuk sajian dari sini kerana di Bukit Fraser kami tidak disediakan sebarang sajian. Segala barang keperluan telah diambil dari stor Rumah Masak di PERHEBAT. Sebelum bertolak ke Bukit Fraser semua pelatih telah berkumpul di Dewan Makan PERHEBAT untuk memunggah bahan-bahan basah seperti ayam, daging lembu, sayur-sayuran. Bahan-bahan kering seperti beras, tepung, minyak dan lain-lain telah diambil sehari sebelumnya pun dipunggah sama.

Oleh kerana pengangkutan yang disediakan ialah sebuah bas PERHEBAT yang boleh memuat lebih kurang 20 penumpang kami telah bergerak secara konvoi bersama-sama dengan sebuah kereta Proton Satria, Pacuan 4 roda Pajero dan 2 buah motosikal berkuasa tinggi pada jam 0845 pagi dengan memasuki Tol di Hospital Sungai Buloh melalui Lebuhraya Utara-Selatan. Saya bersama-sama Ali, Zul dan Rosli menaiki Pacuan 4 roda untuk ke sana. Kami singgah sebentar untuk menikmati minum pagi yang agak berat di Hentian Rehat Rawang kerana kami mungkin akan menikmati makan tengahari pada jam 3 petang. Perjalanan kami melalui Lebuhraya Utara Selatan dan susur keluar ke Bukit Beruntung dari sini kami menuju Pekan Kuala Kubu dan seterusnya menuju ke Bukit Fraser. Jalan Antara Kuala Kubu dan Bukit Fraser agak sempit dan berliku. Sampai di Jalan Old Gap lebih kurang jam 1120 pagi.

Bagi mengelakan sebarang kecelakaan laluan di Gap ini amat unik kerana bagi waktu yang ganjil adalah masa untuk naik dan waktu genap pula adalah waktu untuk kenderaaan menurun dari Bukit Fraser. Oleh kerana kami sampai di Gap antara waktu kenderaan dibenarkan naik ke atas iaitu antara jam 11 pagi sehingga 1140 pagi, kami tidak melenggah masa terus mendaki untuk ke Bukit Fraser. Kepenatan melalui jalan yang diumpamakan ular dipalu itu terubat apabila sampai di bulatan kecil yang terdapat menara jam Bukit Fraser yang menunjukkan jam 1145 pagi. Kami pun berhenti di depan Kelab Golf Bukit Fraser untuk menghirup udara yang segar di taman yang dipenuhi dengan bunga yang berwarna-warni. Akhirnya kami bergerak ke penginapan iaitu Rumah Peranginan Persekutuan Bukit Fraser di Jalan Girdle. Terdapat 2 buah banglo enam bilik yang cukup cantik tersergam indah dengan gaya kolonial. Kami menginap di Banglo B dan saya bersama 4 lagi teman berkongsi bilik 4B.

Setelah menurunkan semua barang-barang kami sama-sama keperluan dari bas, sahabat-sahabat kami yang pakar dalam bidang sajian telah bertungkus lumus untuk menyiapkan hidangan tengahari. Menu ikan goreng nyok-nyok bersos cili, ikan masin, sayur air petola sudah cukup menyelerakan.

Pada jam 4.45 petang kami bergerak ke pusat bandar Bukit Fraser untuk merasai sendiri aktiviti birdwatching. Di pusat bandar, kami telah diperkenalkan oleh Cikgu Zul, seorang Nature Guide berbangsa India iaitu En Durai. Beliau dianggap sebagai encylopaedia bergerak dalam aktiviti birdwatching. Beliau terlibat dalam aktiviti birdwatching lebih dari 20 tahun dan sudah tentulah mempunyai pengalaman luas dan sangat arif tentang burung-burung di Bukit Fraser ini.

Beliau juga pernah menerima jemputan bagi seminar tentang burung di luar negara seperti Singapura dan New Zealand. Kemahirannya mengenalpasti spesis burung dan membunyikan siulan burung sangat dikagumi. Malahan beliau juga dapat mengenali spesis burung dengan hanya mendengar suara burung tersebut. Dengan hampir 250 spesis burung yang dikenalpasti di kawasan tersebut, peluang mendapat tip dalam birdwatching dari seorang yang dianggap pakar burung adalah satu pengalaman yang begitu berharga.

Kami menyusuri Jalan Genting dan kelihatan sepanjang Masjid Sultan Mahmud, Pejabat Perbadanan Bukit Fraser, Banglow Cini, Silver Park Apartment, Banglow Temerloh dan melalui Jalan Ledegham. Sepanjang laluan, En Durai turut memberi penerangan tentang spesis burung. Hampir 10 spesis burung dapat dilihat sepanjang bersama beliau. Antaranya ialah Black Eagle, Mountain Imperial Pigeon, Mountain Fulvetta, Oriental Honey Buzzed, Little Cuckoo Dove, Oriental Magpie Robin, Little Spiderhunter, Grey Wagtail. Spesis burung yang terdapat di Bukit Fraser amat mengagumkan. Meskipun pertama kali terlibat aktiviti tersebut, keindahan unggas yang ada dengan perbagai warna boleh disamakan dengan keindahan pelbagai spesis ikan di lautan.

Hujan renyai yang turun membuatkan aktiviti petang itu terganggu dan kami beteduh sebentar di pondok berhadapan dengan The Paddock. Pengalaman bersama En Durai begitu berharga khususnya melihat kesungguhan beliau dalam menjaga aset utama Bukit Fraser iaitu habitat kepada pelbagai spesis burung.

Pada waktu malam setelah menikmati makan malam pada jam 9.30 kami berkumpul di ruang tamu untuk sesi taklimat oleh tenaga pengajar. Kami dibahagikan kepada 4 kumpulan dengan nama-nama kumpulan yang dipilih sendiri iaitu kumpulan Black Eagle, Eagle Nest, Oriental Magpie Robin dan Black Hornbill. Saya bersama-sama Azad, Zaki, Rabanie, Razak dan Hj Anuar berada dalam Kumpulan Eagle Nest. Semasa sesi taklimat pelbagai tip telah diberi oleh Cikgu Zul, antaranya etika dalam birdwatching, peluang kerjaya Nature Guide dalam bidang birdwatching, lokasi tumpuan untuk aktiviti birdwatching seperti di Taman Negara, Kuala Gula, Kuala Selangor dan Taman Kinabalu.

Hari ke dua – Rabu (20 Oktober 2010)

Setelah menikmati sarapan, sebelum bergerak ke Jalan Old Gap untuk aktiviti birdwatching sempat juga saya menyaksikan perbagai spesis burung yang terdapat di belukar belakang banglo yang didiami. Tepat jam 7 pagi kami berkumpul di hadapan banglo untuk menaiki bas ke Jalan Old Gap bagi sesi birdwatching seterusnya. Setelah taklimat ringkas diberi, kami pun bergerak bersama kumpulan masing-masing menyusuri Jalan Old Gap. Pada pagi ini, saya bersama-sama rakan dalam kumpulan Eagle Nest menyusuri sepanjang jalan untuk mengenalpasti seberapa banyak burung yang dijumpai. Antara spesis burung yang baru dikenalpasti ialah LongTail Sibia, Bronzed Drongo dan Sultan Tit. Setelah hampir 1 jam menyusuri jalan Old Gap, hanya 3 spesis baru sahaja yang kami jumpai. Seterusnya kami pun mennyusuri kembali ke tempat kami bermula tadi untuk ke lokasi yang baru iaitu ke kawasan Jelai Highland Resort. Di sini terdapat satu lagi tarikan Bukit Fraser iaitu kawasan riadah Allan’s Water yang menawarkan aktiviti di air. Di sini juga terdapat 3 lagi spesis yang baru dikenalpasti iaitu Crimson Sunbird, Green Tail Sunbird dan Grey Chinned Minivet.

Setelah menjamah makan tengahari, saya telah ke belukar di belakang banglo untuk memerhatikan burung yang ada di situ. Tempat itu banyak terdapat burung-burung yang biasa di Bukit Fraser seperti Long Tail Sibia, Litter Cockoo Dove dan Silvered Eared Mesia kerana terdapat pokok-pokok yang berbuah.

Pada jam 4.45 petang kami berkumpul semula untuk bergerak ke Air Terjun Jeriau, satu lagi tarikan yang sesuai untuk membawa keluarga berkelah. Jarak perjalanan dari pusat bandar ke lokasi tersebut kira-kira 4.5 km. Dalam perjalanan sempat kami singgah di Ye Olde Smokehouse untuk bergambar. Hotel yang berkonsepkan rekaan Inggeris ini masih dikekal sehingga kini tanpa berubah dan dapat dilihat seperti ianya mula beroperasi dari zaman penjajah lagi. Pengekalan bangunan bangunan lama dan konsep ini amatlah dibanggakan kerana ia boleh menarik ramai pelancong asing untuk datang ke Bukit Fraser.

Kami sampai di pintu masuk Air Terjun Jeriau kira-kira jam 5.35 petang. Kami perlu berjalan kaki kira-kira 700 meter untuk sampai ke kolam air terjun tersebut. Perjalanan kami untuk menikmati kesejukan air terjun itu hampa kerana airnya yang cetek dan keruh serta dipenuhi dengan pasir yang halus. Ini adalah kerana kerja-kerja penambahbaikan infrastruktur di kawasan tersebut yang masih berjalan. Kehampaan kami ditambah lagi dengan hujan yang turun semasa kembali ke tempat letak bas di pintu masuk air terjun ini. Sebelum pulang ke banglo penginapan kami singgah ke Medan Selera Bukit Fraser untuk menikmati minum petang dan membeli cenderahati untuk dibawa pulang.

Pada sebelah malam pula majlis BBQ talah diadakan, menu yang disediakan oleh sahabat kami yang arif dalam masakan ini begitu menyelerakan. Di samping menikmati BBQ ada juga sahabat yang telah menyumbangkan lagu secara berkaraoke telah memeriahkan lagi suasana di malam itu. Makan malam diakhiri dengan sesi menguji minda yang disediakan oleh kumpulan Gambir Sarawak. Soalannya berkisar tentang burung yang telah kami kenal pasti di sebelah siang tadi telah menceriakan lagi suasana malam itu.

Hari ke tiga – Khamis ( 21 Oktober 2010)

Setelah menjamah sarapan secara ala kadar saja kami pun memulakan aktiviti birdwatching di kawasan di hadapan banglo. Kami bersama kumpulan masing-masing bergerak ke sekitar kawasan Telekom Loop, salah satu lokasi yang di anggap menarik untuk aktiviti birdwatching. Antaranya spesis burung yang ditemui ialah White Throated Fantail, Black Browned Barbet, Black And Crimson Oriole, Greater Green Leafbird, Blue Throated Bee Eater dan Greater Yellownape. Tanpa disedari perjalan kami tadi memakan masa hampir 3 jam, masa yang lama ini tidak disedari kerana tertarik dengan pelbagai spesis burung yang pelbagai bunyi dan warna.

Rasa penat kami terubat apabila setelah sampai ke banglo sajian untuk tengah hari telah disiapkan oleh sahabat yang setia di dapur. Setelah selesai makan kami balik ke bilik masing-masing untuk berkemas dan bersiap untuk balik ke Sungai Buluh. Kami bertolak meninggalkan Rumah Rehat Persekutuan Bukit Fraser pada pukul 1 tengahari untuk berhenti sebentar di pusat bandar untuk membeli belah sebelum turun ke Gap. Pada jam 2 petang kami pun bergerak turun ke Gap. Saya bersama-sama Ali, Zul dan Rosli turun mengunakan kenderaan pacuan 4 roda untuk kembali ke Sungai Buloh. Sampai di Kuala Kubu kami singgah sementar di Warung Kak Jah untuk menikmati cendol dan mee karinya yang menyelerakan. Kami selamat sampai kira-kira kira-kira jam 4.30 petang di Sungai Buluh.

PENUTUP

Program lawatan ke Bukit Fraser dapat meningkatkan lagi pengalaman penuntut Usahawan Pelancongan dalam bidang ini. Walaupun masa yang diambil adalah singkat tetapi imbuhan yang diperolehi daripada lawatan ini samada yang mempunyai kebaikan dan kelemahan dapat mematangkan lagi penuntut apabila berada di dalam industri ini. Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada tenaga pengajar dan pengurusan yang telah menjayakan program.

1 comment: