SELAMAT DATANG KE BLOG SAYA

Sunday, November 7, 2010

Sate Kajang



1970. Teringat semasa kecil, selalu juga ayah memimpin aku makan sate di pekan Kajang. Pada masa itu sate di Kajang sangat popular dengan keenakannya. Ia sangat terkenal, boleh dikatakan di Seluruh Semenajung. Kalau disebut sate orang akan terbayang dengan pekan Kajang. Senonim betul dengan nama Sate Kajang. Sate Kajang mempunyai cara unik untuk memikat pelangannya. Jika nak makan sate kita hanya perlu duduk dimeja dan pelayan akan menghantar sate mengikut bilangan yang sesuai dengan pelangan yang ada. Apabila kita hendak membayar pula pelayan akan mengira berapa cucuk yang kita dah makan. Sate yang lebih akan diambil balik oleh pelayan dan ia tidak dimasukan dalam bil.




1990. Apabila aku mula berkerja dan mahu juga meraikan sesuatu yang terlintas pula untuk menyambutnya dengan hidangan sate kajang. Aku bersama-sama rakan seangkatanpun bergerak ke pekan Kajang. Sampai di gerai aku ditanya oleh pelayan "Abang nak berapa cucuk". Aik aku kehairanan dan membalasbailk "antar je untuk 5 orang makan" "Bang sekarang kena order berapa yang nak dimakan bukan kira lidi lagi." balasnya lagi."Oh aku ketinggalan rupanya dah tidak macam dulu" bisik dalam hati. Aku pun memesan 50 ayam dan 50 daging. Setelah kami makan, kami pun membayar.

2010. Baru-baru ini rasa nak makan sate la pulak bukan nak meraikan apa-apapun saja dah lama tak makan sate kajang, aku pun membawa isteri dan anak-anak. sampai di gerai sate, kami pun memesan sate dan minuman setelah selesai pelayan itu mengambil pesanan. Dia berkata"Bang bayar dulu dekat kaunter". Aik aku kehainanan dan isteriku mencelah "belum hantar dah nak kena bayar" hairan. 'Sekarang kena bayar dulu di kaunter baru pesanan akan dihantar" sambung pelayan itu. Aku pun ambil resit yang diberikan oleh pelayan tersebut lalu ke kaunter untuk membayar sate yang belum dihidangkan. Peredaran masa bukan cara merubah suasana tapi cara membayarpun berubah sama. Konsep makan sate pun berubah sama dengan makan segera yang lain dari barat. Selepas makan kami pun beredar pulang. Sambil melangkah pulang sempat juga mengintai-intan gerai yang masih menyimpan nostalgia lama dengan cara lama.

Tuesday, November 2, 2010

Pulau Kapas







JURNAL LAWATAN KE PULAU KAPAS MARANG TERENGGANU

PADA 22 SEPTEMBER HINGGA 24 SEPTEMBER 2010

Pada pukul 0830 bertolak dari PERHEBAT ke Pulau Kapas melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT). Bas dipandu oleh Wak dan dibantu oleh Abang Mail. Dalam Bas Cikgu Zul berikan kami kepada dua kumpulan untuk membuat Kertas Kerja Pulau Kapas yang akan dibentangkan setelah tamat lawatan. Sampai di Plaza Tol Jabor kira-kira pukul 1200, Cikgu Zul berikan penerangan berkaitan Hutan Keragas yang terdapat di kiri dan kanan lebuhraya ini. Livistona spp, terdapat dengan subur di kawasan tinggi kawasan ini. Daun pokok ini adalah lambang Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. Pokok ini juga menjadi endemik spesis di Endau (Livistona Endaulisis) dan di Gunung Tahan (Livistona Tahanisis)

Pokok Rasah dari keluarga Pandanusea, juga banyak terdapat di kawasan ini kerana keadaan geografinya yang berair. Melalui Pantai Cherating yang menarik, terdapat banyak penginapan yang mampu disewa. Charating berasal dari nama sejenis ketam laut. Pantai Cherating terbentang dari Pantai Celor hingga Pantai Balok. Mengadap ke pantai Cherating ialah Pulau Ular yang sesuai kepada Snokeling.

Pokok Tembusu sesuai dibuat tiang rumah dan cenderahati kerana kulit pokok ini yang menarik. Pokok Bakau juga banyak tedapat di sepanjang pantai ini. Bakau Minyak dan Kurap mempunyai nilai ekonomi yang tinggi. Kulit Pokok Gelam digunakan oleh nelayan untuk menampal bot mereka kerana kulit pokok ini akan mengembang apabila terkena air masin. Ia juga berguna kepada penternak lebah kerana ia banyak mengeluarkan bunga yang mempunyai nektar yang banyak. Di sini juga terdapat santuari penyu, di Malaysia terdapat beberapa spesis yang menghampiri pantai untuk bertelur antaranya Penyu Belimbing, Lipas, Agar (Hijau) dan Karah (Sisik).

Pulau Tengkol sesuai kepada Scuba Diver untuk menikmati Kehidupan Marin.

Kawasan Rantau Abang bukan sahaja terkenal dengan tempat penyu bertelor, ia juga menjadi habitat semulajadi Buaya Katak atau Jujulung. Di sini juga terpadat pokok gelam yang lebih kecil.

1615 sampai di Kuala Marang dan bertolak ke Pulau Kapas pada jam 1630. Sampai Jeti Pulau Kapas pada 1700 dan terus checkin dan masuk bilik beriadah. Yang lain makan kat lobby ada welcome drink. Saya dan Penghulu puasa enam sebab hari yang terakhir. Pukul 1905 berbuka ala kadar. Selepas Solat barulah melantak kat lobi Kapas Island Resort.

2030 ada perjumpaan bagi setiap kumpulan yang telah dilakukan untuk memilih nama kumpulan masing-masing, D’Bayan sempena nama ikan yang terdapat di sini dan Brogvilla (bunga Kertas) juga hidup subur di sini, seterusnya persembahkan kepada pelatih nama yang telah dipilih. Selepas taklimat setiap kumpulan, jalan-jalan sepanjang pantai. Jumpa staf KIR yang sedang bakar sotong yang baru dicandat, peh sedapnya hingga menjilat jari.

220830 lepas sarapan pagi, buat water confident di pantai. Cikgu Jamil menerangkan cara-cara memakai dan menggunakan peralatan snokling dengan betul. 0900 bergerak kelokasi snokling di hadapan Harmony Camp Site buat snokling, banyak terdapat formasi batu karang yang menarik di hiasi dengan ikan yang pelbagai spesis, yang paling menarik ikan sergent dan bayan yang mengeliling kita untuk mendapat makanan. Buat snokling, banyak spesis ikan dan batu karang yang terdapat di sini.

Ini yang ruginya jika tidak bawa underwater camera. Tengok surface je le. 1430 bergerak ke Batu Rakit Trial (Jurasic Park) . perjalanan sepanjang lebih kurang 600 meter mengambil masa kira-kira 1 jam. Kategori Hutan Sekunder. Dalam perjalana tersempak dengan Ular Kapak Sumatera (Trimeresurus Sumatranus) yang berbisa dan merbahaya, menyerang jika tersasa dirinya terancam. Anak ikan yang bermain-main di celah-celah batu di Jurasic Park. Sampai di Jurasic Park duduk berehat sementar melihat formasi geologi dan pemandangan laut. Pandanusae spp antara pokok yang menarik disini tinggi lebih kurang 15 meter. Sebab itu di sini di gelar Jurasic Park. Malam ada sesi karaoke, nanyi sampai pagi.

220830 buat sekali lagi snokling di Kawasan Pulau Gemia. Di sini ada ikan yang lebih besar dan formasi batu karang yang lebih menarik. 1430 bertolak balik ke Kuala Marang dan seterusnya ke PERHEBAT. Sampai 2245 di Sungai Buluh.

Monday, November 1, 2010

Bukit Fraser

JURNAL BUKIT FRASER PAHANG MULAI 19 OKT HINGGA 21 OKT 2010

PENDAHULUAN

Peta Lakaran Bukit Fraser

Bukit Fraser mendapat nama dari seorang pengembara British pada zaman kolonial iaitu Louis James Fraser. Terdapat pelbagai cerita menarik tentang beliau tetapi tidak begitu jelas termasuk beliau sebagai pengedar candu dan perjudian di antara para pelombong di Pahang yang kebanyakannya berbangsa cina. Dia dikatakan telah hilang secara misteri di kawasan ini.

Pekannya agak kecil dan kebanyakan aktiviti di sini tertumpu di sebuah dataran yang mempunyai sebuah menara jam yang cantik. Kebanyakan bangunan yang terdapat di sini adalah bercirikan zaman kolonial peninggalan penjajah Inggeris. Pusat peranginan ini dianggap sebagai tempat terunggul untuk aktiviti memerhati burung dan sering menjadi tuan rumah acara tahunan Pertandingan Memerhati Burung Antarabangsa Bukit Fraser. Pertandingan ini memerlukan peserta menyusuri laluan-laluan trek yang terdapat di dalam hutan di sini bagi mencari dan merekodkan jumlah pelbagai jenis burung yang boleh dilihat dalam tempoh masa yang ditetapkan. Suasana di Bukit Fraser menyerupai suasana perkampungan di pedalaman negara Scotland yang dipenuhi dengan bangunan granit kelabu dengan gaya Tudor.


LOKASI

Bukit Fraser terletak di negeri Pahang, di atas Banjaran Titiwangsa, Malaysia. Ia merupakan kawasan pelancongan tanah tinggi yang menarik kerana suhunya sejuk 17-24 Celcius. Puncak tertinggi Bukit Fraser ialah 1,505 meter dari aras laut. Jaraknya kira-kira 104 kilometer dari bandar raya Kuala Lumpur yang mengambil masa sekitar 2 jam 30 minit untuk sampai ke sana. Bukit Fraser ini terletak di bawah bidang kuasa Daerah Raub, Pahang.

PENERANGAN

Bagi melengkapkan diri sebagai seorang Pemandu Pelancong Alam Semulajadi Tahap 3 seramai 22 pelatih disertai juga 2 tenaga pengajar Usahawan Pelancongan Siri Jan 2010 telah membuat lawatan ke Bukit Fraser, Pahang. Lawatan pada kali ini disertai juga Tony, Raj, Faiz dan Chod yang telah menceriakan lawatan ini. Penyertaan mereka juga dapat merealisasikan dan memberikan pengalaman sebenar sebagai seorang Nuture Guide. Program ini akan berlangsung selama 3 hari 2 malam di Rumah di Rumah Peranginan Persekutuan di Bukit Fraser, Pahang.

CATATAN PERJALANAN

Hari Pertama – Selasa (19 Oktober 2010)

Lawatan praktikal pada kali ini agak berbeza kerana kami perlu membawa bahan keperluan untuk sajian dari sini kerana di Bukit Fraser kami tidak disediakan sebarang sajian. Segala barang keperluan telah diambil dari stor Rumah Masak di PERHEBAT. Sebelum bertolak ke Bukit Fraser semua pelatih telah berkumpul di Dewan Makan PERHEBAT untuk memunggah bahan-bahan basah seperti ayam, daging lembu, sayur-sayuran. Bahan-bahan kering seperti beras, tepung, minyak dan lain-lain telah diambil sehari sebelumnya pun dipunggah sama.

Oleh kerana pengangkutan yang disediakan ialah sebuah bas PERHEBAT yang boleh memuat lebih kurang 20 penumpang kami telah bergerak secara konvoi bersama-sama dengan sebuah kereta Proton Satria, Pacuan 4 roda Pajero dan 2 buah motosikal berkuasa tinggi pada jam 0845 pagi dengan memasuki Tol di Hospital Sungai Buloh melalui Lebuhraya Utara-Selatan. Saya bersama-sama Ali, Zul dan Rosli menaiki Pacuan 4 roda untuk ke sana. Kami singgah sebentar untuk menikmati minum pagi yang agak berat di Hentian Rehat Rawang kerana kami mungkin akan menikmati makan tengahari pada jam 3 petang. Perjalanan kami melalui Lebuhraya Utara Selatan dan susur keluar ke Bukit Beruntung dari sini kami menuju Pekan Kuala Kubu dan seterusnya menuju ke Bukit Fraser. Jalan Antara Kuala Kubu dan Bukit Fraser agak sempit dan berliku. Sampai di Jalan Old Gap lebih kurang jam 1120 pagi.

Bagi mengelakan sebarang kecelakaan laluan di Gap ini amat unik kerana bagi waktu yang ganjil adalah masa untuk naik dan waktu genap pula adalah waktu untuk kenderaaan menurun dari Bukit Fraser. Oleh kerana kami sampai di Gap antara waktu kenderaan dibenarkan naik ke atas iaitu antara jam 11 pagi sehingga 1140 pagi, kami tidak melenggah masa terus mendaki untuk ke Bukit Fraser. Kepenatan melalui jalan yang diumpamakan ular dipalu itu terubat apabila sampai di bulatan kecil yang terdapat menara jam Bukit Fraser yang menunjukkan jam 1145 pagi. Kami pun berhenti di depan Kelab Golf Bukit Fraser untuk menghirup udara yang segar di taman yang dipenuhi dengan bunga yang berwarna-warni. Akhirnya kami bergerak ke penginapan iaitu Rumah Peranginan Persekutuan Bukit Fraser di Jalan Girdle. Terdapat 2 buah banglo enam bilik yang cukup cantik tersergam indah dengan gaya kolonial. Kami menginap di Banglo B dan saya bersama 4 lagi teman berkongsi bilik 4B.

Setelah menurunkan semua barang-barang kami sama-sama keperluan dari bas, sahabat-sahabat kami yang pakar dalam bidang sajian telah bertungkus lumus untuk menyiapkan hidangan tengahari. Menu ikan goreng nyok-nyok bersos cili, ikan masin, sayur air petola sudah cukup menyelerakan.

Pada jam 4.45 petang kami bergerak ke pusat bandar Bukit Fraser untuk merasai sendiri aktiviti birdwatching. Di pusat bandar, kami telah diperkenalkan oleh Cikgu Zul, seorang Nature Guide berbangsa India iaitu En Durai. Beliau dianggap sebagai encylopaedia bergerak dalam aktiviti birdwatching. Beliau terlibat dalam aktiviti birdwatching lebih dari 20 tahun dan sudah tentulah mempunyai pengalaman luas dan sangat arif tentang burung-burung di Bukit Fraser ini.

Beliau juga pernah menerima jemputan bagi seminar tentang burung di luar negara seperti Singapura dan New Zealand. Kemahirannya mengenalpasti spesis burung dan membunyikan siulan burung sangat dikagumi. Malahan beliau juga dapat mengenali spesis burung dengan hanya mendengar suara burung tersebut. Dengan hampir 250 spesis burung yang dikenalpasti di kawasan tersebut, peluang mendapat tip dalam birdwatching dari seorang yang dianggap pakar burung adalah satu pengalaman yang begitu berharga.

Kami menyusuri Jalan Genting dan kelihatan sepanjang Masjid Sultan Mahmud, Pejabat Perbadanan Bukit Fraser, Banglow Cini, Silver Park Apartment, Banglow Temerloh dan melalui Jalan Ledegham. Sepanjang laluan, En Durai turut memberi penerangan tentang spesis burung. Hampir 10 spesis burung dapat dilihat sepanjang bersama beliau. Antaranya ialah Black Eagle, Mountain Imperial Pigeon, Mountain Fulvetta, Oriental Honey Buzzed, Little Cuckoo Dove, Oriental Magpie Robin, Little Spiderhunter, Grey Wagtail. Spesis burung yang terdapat di Bukit Fraser amat mengagumkan. Meskipun pertama kali terlibat aktiviti tersebut, keindahan unggas yang ada dengan perbagai warna boleh disamakan dengan keindahan pelbagai spesis ikan di lautan.

Hujan renyai yang turun membuatkan aktiviti petang itu terganggu dan kami beteduh sebentar di pondok berhadapan dengan The Paddock. Pengalaman bersama En Durai begitu berharga khususnya melihat kesungguhan beliau dalam menjaga aset utama Bukit Fraser iaitu habitat kepada pelbagai spesis burung.

Pada waktu malam setelah menikmati makan malam pada jam 9.30 kami berkumpul di ruang tamu untuk sesi taklimat oleh tenaga pengajar. Kami dibahagikan kepada 4 kumpulan dengan nama-nama kumpulan yang dipilih sendiri iaitu kumpulan Black Eagle, Eagle Nest, Oriental Magpie Robin dan Black Hornbill. Saya bersama-sama Azad, Zaki, Rabanie, Razak dan Hj Anuar berada dalam Kumpulan Eagle Nest. Semasa sesi taklimat pelbagai tip telah diberi oleh Cikgu Zul, antaranya etika dalam birdwatching, peluang kerjaya Nature Guide dalam bidang birdwatching, lokasi tumpuan untuk aktiviti birdwatching seperti di Taman Negara, Kuala Gula, Kuala Selangor dan Taman Kinabalu.

Hari ke dua – Rabu (20 Oktober 2010)

Setelah menikmati sarapan, sebelum bergerak ke Jalan Old Gap untuk aktiviti birdwatching sempat juga saya menyaksikan perbagai spesis burung yang terdapat di belukar belakang banglo yang didiami. Tepat jam 7 pagi kami berkumpul di hadapan banglo untuk menaiki bas ke Jalan Old Gap bagi sesi birdwatching seterusnya. Setelah taklimat ringkas diberi, kami pun bergerak bersama kumpulan masing-masing menyusuri Jalan Old Gap. Pada pagi ini, saya bersama-sama rakan dalam kumpulan Eagle Nest menyusuri sepanjang jalan untuk mengenalpasti seberapa banyak burung yang dijumpai. Antara spesis burung yang baru dikenalpasti ialah LongTail Sibia, Bronzed Drongo dan Sultan Tit. Setelah hampir 1 jam menyusuri jalan Old Gap, hanya 3 spesis baru sahaja yang kami jumpai. Seterusnya kami pun mennyusuri kembali ke tempat kami bermula tadi untuk ke lokasi yang baru iaitu ke kawasan Jelai Highland Resort. Di sini terdapat satu lagi tarikan Bukit Fraser iaitu kawasan riadah Allan’s Water yang menawarkan aktiviti di air. Di sini juga terdapat 3 lagi spesis yang baru dikenalpasti iaitu Crimson Sunbird, Green Tail Sunbird dan Grey Chinned Minivet.

Setelah menjamah makan tengahari, saya telah ke belukar di belakang banglo untuk memerhatikan burung yang ada di situ. Tempat itu banyak terdapat burung-burung yang biasa di Bukit Fraser seperti Long Tail Sibia, Litter Cockoo Dove dan Silvered Eared Mesia kerana terdapat pokok-pokok yang berbuah.

Pada jam 4.45 petang kami berkumpul semula untuk bergerak ke Air Terjun Jeriau, satu lagi tarikan yang sesuai untuk membawa keluarga berkelah. Jarak perjalanan dari pusat bandar ke lokasi tersebut kira-kira 4.5 km. Dalam perjalanan sempat kami singgah di Ye Olde Smokehouse untuk bergambar. Hotel yang berkonsepkan rekaan Inggeris ini masih dikekal sehingga kini tanpa berubah dan dapat dilihat seperti ianya mula beroperasi dari zaman penjajah lagi. Pengekalan bangunan bangunan lama dan konsep ini amatlah dibanggakan kerana ia boleh menarik ramai pelancong asing untuk datang ke Bukit Fraser.

Kami sampai di pintu masuk Air Terjun Jeriau kira-kira jam 5.35 petang. Kami perlu berjalan kaki kira-kira 700 meter untuk sampai ke kolam air terjun tersebut. Perjalanan kami untuk menikmati kesejukan air terjun itu hampa kerana airnya yang cetek dan keruh serta dipenuhi dengan pasir yang halus. Ini adalah kerana kerja-kerja penambahbaikan infrastruktur di kawasan tersebut yang masih berjalan. Kehampaan kami ditambah lagi dengan hujan yang turun semasa kembali ke tempat letak bas di pintu masuk air terjun ini. Sebelum pulang ke banglo penginapan kami singgah ke Medan Selera Bukit Fraser untuk menikmati minum petang dan membeli cenderahati untuk dibawa pulang.

Pada sebelah malam pula majlis BBQ talah diadakan, menu yang disediakan oleh sahabat kami yang arif dalam masakan ini begitu menyelerakan. Di samping menikmati BBQ ada juga sahabat yang telah menyumbangkan lagu secara berkaraoke telah memeriahkan lagi suasana di malam itu. Makan malam diakhiri dengan sesi menguji minda yang disediakan oleh kumpulan Gambir Sarawak. Soalannya berkisar tentang burung yang telah kami kenal pasti di sebelah siang tadi telah menceriakan lagi suasana malam itu.

Hari ke tiga – Khamis ( 21 Oktober 2010)

Setelah menjamah sarapan secara ala kadar saja kami pun memulakan aktiviti birdwatching di kawasan di hadapan banglo. Kami bersama kumpulan masing-masing bergerak ke sekitar kawasan Telekom Loop, salah satu lokasi yang di anggap menarik untuk aktiviti birdwatching. Antaranya spesis burung yang ditemui ialah White Throated Fantail, Black Browned Barbet, Black And Crimson Oriole, Greater Green Leafbird, Blue Throated Bee Eater dan Greater Yellownape. Tanpa disedari perjalan kami tadi memakan masa hampir 3 jam, masa yang lama ini tidak disedari kerana tertarik dengan pelbagai spesis burung yang pelbagai bunyi dan warna.

Rasa penat kami terubat apabila setelah sampai ke banglo sajian untuk tengah hari telah disiapkan oleh sahabat yang setia di dapur. Setelah selesai makan kami balik ke bilik masing-masing untuk berkemas dan bersiap untuk balik ke Sungai Buluh. Kami bertolak meninggalkan Rumah Rehat Persekutuan Bukit Fraser pada pukul 1 tengahari untuk berhenti sebentar di pusat bandar untuk membeli belah sebelum turun ke Gap. Pada jam 2 petang kami pun bergerak turun ke Gap. Saya bersama-sama Ali, Zul dan Rosli turun mengunakan kenderaan pacuan 4 roda untuk kembali ke Sungai Buloh. Sampai di Kuala Kubu kami singgah sementar di Warung Kak Jah untuk menikmati cendol dan mee karinya yang menyelerakan. Kami selamat sampai kira-kira kira-kira jam 4.30 petang di Sungai Buluh.

PENUTUP

Program lawatan ke Bukit Fraser dapat meningkatkan lagi pengalaman penuntut Usahawan Pelancongan dalam bidang ini. Walaupun masa yang diambil adalah singkat tetapi imbuhan yang diperolehi daripada lawatan ini samada yang mempunyai kebaikan dan kelemahan dapat mematangkan lagi penuntut apabila berada di dalam industri ini. Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada tenaga pengajar dan pengurusan yang telah menjayakan program.

Taman Negara

JURNAL LAWATAN KE TAMAN NEGARA PAHANG

MULAI 5 OKT HINGGA 7 OKT 2010

PENDAHULUAN

Menikmati alam semulajadi adalah suatu pengalaman yang tidak dapat dibeli, apatah lagi melalui jurnal, buku-buku ataupun menonton rancangan National Geografi di rangkaian Astro mahupun RTM anda. Ia harus dinikmati sendiri dengan cara merasai pengalaman tersebut. Menyedari keperluan tersebut penuntut Usahawan Pelancongan Siri Jan 2010 telah merencanakan lawatan secara praktikal ke Taman Negara, Jerantut, Pahang bagi melengkapkan diri serta menimba pengalaman bagi memantapkan lagi penuntut untuk memasuki industri ini.

LATARBELAKANG

Taman Negara yang dulunya dikenali dengan nama Taman Negara King George V telah diwartakan sebagai Taman Negara

pada tahun 1938. Taman Negara terletak di kawasan seluas 4,343 kilometer persegi yang meliputi 3 buah negeri iaitu Pahang (2,477km persegi), Kelantan (1,043km persegi) dan Terengganu (853km persegi). Puncak tertinggi ialah Gunung Tahan pada ketinggian 2,187 meter dari aras laut. Hutan Hujan Tropika di sini masih lagi berstatus hutan primer adalah dianggarkan telah

berusia 130 juta tahun dan menjadikan ia adalah Hutan Hujan Tropika yang tertua di dunia. Taman Negara ini sangat unik dari segi ekosistem dan bio-diversitinya didiami oleh perbagai spises fauna dan flora yang telah berevolusi secara semulajadi jutaan tahun duhulu tanpa diganggu.

LOKASI

Taman Negara yang ditadbir oleh Jabatan PERHILITAN mempunyai 4 pintu masuk iatu melalui Kuala Tahan dan Merapoh di Pahang, Kuala Koh di Kelantan serta Tasik Kenyir di Terengganu. Kesemua pintu masuk melalui jalan darat kecuali di Tasik Kenyir melalui jalan air. Pintu masuk yang paling popular ialah melalui Kuala Tahan. Pelawat yang ingin mengunakan kenderaan awam boleh memilih mengunakan bas ataupun keretapi untuk ke sana. Di Jerantut pula pelawat boleh memilih untuk mengunakan bot menyusuri Sungai Pahang atau menaiki bas dari sana menuju ke Kuala Tahan. Jika pelawat mahukan suasana yang tenang dan tenteram bolehlah memilih untuk memasuki melalui Kuala Koh kerana di sana kurang pengunjung yang menginap.

PENERANGAN

Bagi melengkapkan diri sebagai seorang Pemandu Pelancong Alam Semulajadi Tahap 3 seramai 22 pelatih disertai juga 2 tenaga pengajar Usahawan Pelancongan Siri Jan 2010 telah membuat lawatan ke Taman Negara, Jerantut, Pahang. Lawatan pada kali ini disertai juga oleh Winne (pelancong Taiwan), Tony (Nuture Guide Bukit Nenas) dan Chod (Bekas Nuture Guide ukit Nenas) telah menyertai lawatan ini. Penyertaan mereka telah merealisasikan dan dapat memberikan pengalaman sebenar sebagai seorang Nuture Guide. Program ini akan berlangsung selama 3 hari 2 malam Mutiara Taman Negara, Jerantut, Pahang.



CATATAN PERJALANAN

Hari Pertama (Selasa -5 Oktober 2010)

Sebagaimana lawatan yang dibuat sebelumnya semua penuntut kursus telah berkumpul di hadapan bangunan pengurusan PERHEBAT mulai jam 0800 pagi. Bas mula bergerak jam 8.45 pagi dari PERHEBAT melalui Tol Gombak menuju ke Karak untuk ke Lebuhraya Pantai Timur.

Oleh kerana waktu kami bertolak adalah pada waktu kemuncak lalulintas agak sesak. Mujurlah kami bas yang dipandu oleh Wak yang banyak pengalaman menjadikan perjalan kami amat selesa. Pada jam 1045 pagi kami menyusuri susur keluar ke Tol Temerloh melalui Kuala Krau, Jerantut, Padang Piol sebelum sampai di Kuala Tahan kira-kira jam 1245 tengahari.

Pertama kali menjejak kaki di Jeti Kuala Tahan menyebabkan hati ini merasakan sangat bangga dan tidak sabar untuk merasai pengalaman berada di Taman Negara, sempat juga bergambar kenangan di papan tanda di dataran berhampiran dengan jeti di hadapan Taman Negara.

Lokasi Mutiara Taman Negara tempat peginapan kami terletak di pertemuan antara dua sungai iaitu Sungai Tembeling dan Sungai Tahan dan berada di dalam kawasan Taman Negara. Untuk ke sana kami perlu menyeberang mengunakan bot penambang yang sedia mengunggu. Jeti dan Mutiara Taman Negara hanya dipisahkan hanya kira-kira 50 meter sahaja namun arus sungai ini sangat deras. Pengangkutan yang digunakan ialah bot yang boleh dimuati 10 orang penumpang dan dikenakan bayaran RM1 setiap orang.

Kehadiran kami di Mutiara Taman Negara disambut dengan permainan alat musik tradisional dan nanyian lagu Selamat Datang dalam dialek suku kaum Batek oleh kakitangan Mutiara Taman Negara Resort. Selapas itu kami ke Cafe untuk menikmati makan tengahari dan mendapat taklimat tentang aktiviti yang akan dilaksanakan pada sebelah petang setelah iut kami pun beredar ke penginapan masing-masing.

Penginapan kami adalah bilik Doom yang boleh memuatkan seramai 8 orang dan dilengkapi denga katil Double Decker dan berhawa dingin. Aktiviti penerokaan gua pada petang itu dibatalkan kerana berlaku runtuhan di dalam gua tesebut yang boleh membahayakan pengunjung. Bagi menjalankan aktiviti di sini permit diperlukan, di mana pengunjung perlu mendaftar nama di kaunter PERHILITAN. Kadar permit sebanyak RM5 bagi kamera untuk mengambil gambar dikenakan dengan tempoh sah selama sebulan.

Masa yang terluang ini dimanfaatkan untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan untuk menyiapkan tugasan yang diberikan. Kami dari kumpulan D’Bayan telah dibahagikan kepada 3 kumpulan kecil untuk mendapatkan maklumat lengkap resort-resort yang terdapat di sekitar Kuala Tahan. Maklumat itu perlu merangkumi Alamat lengkap, Nombor telefon, Faks, e-mail atau laman web dan kadar bilik yang disediakan. Walaupun pada petang itu hujan turun renyai-renyai menyukarkan kerja kami namun tetap diteruskan juga. Saya dalam kumpulan ketiga yang terdiri daripada En Aziz bin Ismail dan En Mohd Ali bin Misban telah menuju ke lokasi yang telah ditetapkan. Setelah selesai membuat selidikan ke atas penyedia penginapan di sana kami pun beredar balik ke penginapan kami.

Selepas selesai makan malam, kami diperkenalkan dengan pemandu pelancong tempatan untuk aktiviti Night Junglewalk iaitu Pak Cu, Awang dan Azhar. Setelah mendapat penerangan ringkas dari Pak Cu kami bergerak ke Pusat Maklumat Taman Negara untuk menonton video berkaitan Taman Negara. Setelah selesai menonton, kami meneruskan aktiviti Night Junglewalk dengan melalui trek yang disediakan sehingga ke Bumbun Tahan. Sepanjang meredah kegelapan malam, antara spesis fauna yang dijumpai adalah belalang ranting, kala jengking, labah-labah yang mengendong anak-anaknya serta kilauan mata rusa di Bumbun Tahan. Aktiviti tamat kira-kira jam 10 malam dengan sedikit taklimat serta petua berjalan malam di hutan oleh Pak Cu. Kami pun berjalan pulang ke penginapan masing masing.

Hari kedua (06 Okt 2010)

Awal jam 6.30 pagi, saya dan beberapa teman sempat ke Bumbun Tahan untuk melihat fauna yang mengunjung jenut untuk mendapatkan garam galian sebelum matahari terbit. Walaupun tidak bertuah untuk melihat binatang yang mengunjungi jenut tersebut kami sempat melihat 3 ekor babi hutan yang merayau mencari makan di bawah pokok rambai hutan, burung Murai Gajah (Asian Fairy-bluebird), burung Punai Kericau (Pink-necked Green-Pigeon). Selepas menikmati minum pagi, jam 9.30 pagi kami berkumpul di belakang penginapan untuk aktiviti hari tersebut iaitu Jungle Trekking dan Conopy Walk. Sepanjang laluan kami diberikan tentang cara untuk membezakan Hutan Primer dan Hutan Sekunder, keunikan pokok pepanjat ‘liana’, pokok buluh, spesis flora seperti pokok tapak hantu dan pokok gaharu.

Setelah berjalan lebik kurang 30 minit akhirnya kami pun tempat yang di tuju. Conopy Walk ini telah dibina oleh pihak PERHILITAN pada tahun 1992 sebagai salah satu tarikan di Taman Negara. Jambatan gantung ini sepanjang 530 meter dan berketinggian kira-kira 40 meter menjadi lokasi menarik untuk melihat kepelbagaian spesis flora dan fauna yang berada di paras conopy. Bayaran yang dikenakan untuk melalui Conopy Walk bagi dewasa RM 5 seorang dan kanak-kanak RM 3 seorang. Saya dapat merasakan adrenalin saya mengalir apabila memandang ke bawah Conopy Walk ini yang menimbulkan rasa gayat.. Titian ini merupakan jambatan gantung yang terpanjang di dunia dan pada masa lawatan kami ke sana kerja-kerja pembinaan struktur baru jambatan sedang dibina dan dijangka boleh digunakan sepenuhnya mulai Disember 2010.

Pada sebelah petang pula aktiviti Rappid Shooting ke Lata Berkoh. Kami bergerak ke Lata Berkoh dengan menaiki bot yang boleh dinaiki oleh 4 orang penumpang. Perjalanan kami ke Lata Berkoh mengharungi sungai yang cetek dan melalui celah celah batu dan kayu balak yang terdampar di sepanjang sungai. Sepanjang perjalanan ini sempat juga kami melihat Orang Asli Suku Batek yang sedang mandi di tepi sungai. Oleh kerana bot yang dinaiki tidak boleh meneruskan perjalanan ke Lata Berkok kerana aras air yang rendah maka kami terpaksa melalui denai yang jaraknya lebih kurang 1.2 Kilometer dan mengambil masa 15 berjalan kaki. Air yang sejuk dan mengcekam hingga ke tulang ini berwarna agak coklat dan rasa kelat adalah disebabkan oleh batu syal (shale) yang terdapat di dasarnya yang menghasilkan warna coklat pada airnya. Kira-kira pukul 5 petang kami bergerak pulang menuju ke tempat bot untuk pulang ke penginapan kami. Pada sebelah malam setelah makam malam saya sempat sekali lagi pergi ke pusat maklumat Taman Negara untuk mendapatkan beberapa maklumat tentang Taman Negara.

Hari ketiga (07 Okt 2010)

Seperti semalam seawal jam 6 pagi, saya bersama teman-teman sekali lagi bergerak ke Bumbun Tahan untuk melihat fauna yang mengunjung jenut menamun hujan yang turun sejak semalam menyebabkan kami sekali lagi merasa kecewa untuk melihat binatang yang mengunjungi jenut tersebut. Setelah menikmati minum pagi, kami semua berkumpul untuk bergerak balik ke Sungai Buloh. Kali ini turut disertai 3 pelancong asing lain iaitu Wei Cheng dari Singapura, Susan dan Margaret dari China serta Nature Guide yang dikenali sebagai Man. Banyak informasi berkaitan dengan negara China terutama terracotta army diperolehi hasil sesi pengenalan diri oleh mereka ketika di dalam bas. Sempat juga makan tengahari di Hentian Genting Sempah dalam perjalan pulang. Kami sampai di Sungai Buluh lebih kurang pukul 3.30 petang.

PENUTUP

Program lawatan ke Taman Negara dapat meningkatkan lagi pengalaman penuntut Usahawan Pelancongan dalam bidang ini. Walaupun masa yang diambil adalah singkat tetapi imbuhan yang diperolehi daripada lawatan ini samada yang mempunyai kebaikan dan kelemahan dapat mematangkan lagi penuntut apabila berada di dalam industri ini. Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada tenaga pengajar dan pengurusan yang telah menjayakan program.